Saturday, September 13, 2014

SIAPA DAN APAKAH TANGGUNGJAWAB MAJIKAN

Assalammualaikum W.b.t

Post kali ini saya akan terangkan apakah tanggungjawab majikan dan akan dikaitkan dengan keperluan AKTA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 1994 & AKTA KILANG DAN JENTERA 1967. Ini memandangkan ramai majikan kurang memahami tanggungjawab untuk mematuhi akta dan peraturan- peraturan dibawahnya.

Sebelum saya terangkan dengan lebih lanjut mengenai tanggungjawab majikan, saya akan terangkan dulu definisi majikan menurut AKTA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 1994:-

Majikan menurut akta adalah majikan langsung atau majikan utama atau kedua-duanya.

Berikut adalah definisi bagi
1. Majikan Langsung
2. Majikan Utama

Majikan Langsung
- berhubungan dengan pekerja yang diambil khidmat oleh atau melaluinya, ertinya seseorang yang telah mengakujanji untuk melaksanakan, ditempat kerjadi mana majikan utama menjalankan perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencariannya di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya, kesemua atau mana-mana bahagian apa-apa kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencarian majikan utama ituatau yang menjadi permulaan bagi kerja yang dijalankan dalam atau bersampingan dengan maksud mana-mana perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencarian itu dan termasuklah seseorang yang olehnya perkhidmatan seseorang pekerja yang telah membuat kontrak perkhidmatan dengan dipinjamkan atau disewakan untuk sementara kepada majikan utama.

Majikan Utama
-pemunya suatu industri atau orang yang dengannya seseorang pekerja telah membuat kontrak perkhidmatan dan termasuklah:-
a) pengurus, ejen atau orang yang bertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah kepada seseorang pekerja.
b) penghuni sesuatu tempat kerja.
c) wakil disisi undang-undang pemunya atau penghuni yang telah meninggal dunia; dan
d) mana-mana kerajaan di Malaysia, jabatan mana-mana kerajaan itu, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun.

Contoh:- Ali di lantik sebagai Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS) di syarikat A. Syarikat A merupakan Subkontraktor kepada syarikat B (Pemunya Projek). 

Berdasarkan contoh di atas Menunjukkan Syarikat A merupakan majikan langsung kepada pekerja, manakala Syarikat B merupakan majikan utama kepada pekerja tersebut.

Walaubagaimanapun, tindakan boleh diambil kepada majikan langsung atau majikan utama atau kepada kedua-duanya sekiranya gagal memastikan pematuhan terhadap Akta dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menyatakan tentang tanggungjawab majikan dan orang yang bekerja sendiri. 

Di sini saya akan terangkan Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.

Setakat yang praktik bermaksud langkah kawalan dan pencegahan yang dilakukan bergantung kepada kesesuaian dan kemampuan majikan. Langkah kawalan dan pencegahan tersebut dikatakan praktik selagi ianya masih dapat melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja. Sekiranya terjadinya kemalangan atau penyakit pekerjaan, maka langkah kawalan dan pencegahan tersebut dikatakan sudah tidak praktik dan perlu dipinda.


Semoga info ringkas ini dapat membantu terutama kepada anda yang baru hendak menceburi bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja Tanggungjawab Bersama"

2 comments: